22 July 2018

Tercipta Sejarah Keislaman: Pondok Pesantren Pertama Dibina Dekat Kota New York

KONFRONTASI - Dalam satu sejarah baru yang tercatat dalam perjalanan Islam di Amerika Syarikat, sebuah sekolah agama pesantren akan dibangunkan dekat kota metropolitan New York tidak lama lagi.

Ia merupakan pondok pesantren ciri Indonesia yang pertama di bumi Amerika Syarikat.

BERITAMediacorp diberitahu, pesantren bernama Pondok Pesantren Madani USA itu, akan mula menjalankan kegiatan pendidikan Islam bermula "Julai atau Ogos tahun 2018".

"Insya Allah niat kami, Jun (2018) nanti akan ada perasmian awal pesantren ini," kata Imam Shamsi Ali, pengasas pesantren tersebut yang juga merupakan tokoh Islam terkenal di New York.

Imam Shamsi yang berasal dari Indonesia dan sudah 20 tahun berdakwah di Amerika Syarikat menambah, pihaknya sudahpun menandatangani kontrak pembelian tapak tanah tersebut pada bulan November. Kos tanah dan kerja-kerja ubah elok pula dijangka mencapai AS$1 juta.

MENGAPA BINA PESANTREN DEKAT NEW YORK?

Ditanya BERITAMediacorp tentang mengapa beliau memutuskan untuk membina sebuah pesantren di Amerika Syarikat, ini antara jawapan Imam Shamsi Ali:

"Selain kerana memang belum ada pusat Islam yang dikelola oleh warga Indonesia, kita juga ingin pesantren ini menjadi pusat pengembangan Islam dengan karakter Nusantara. Iaitu Islam yang damai, lembut, bersahabat dan mengedepankan dialog dan kerjasama. Mungkin dalam bahasa agama Islam yang 'Rahmatan lil-alamin'," ujar beliau yang merupakan Presiden Yayasan Nusantara di New York dan menjadi imam di Pusat Islam Jamaica New York.

Sekarang ini, pusat-pusat pendidikan agama Islam di Amerika Syarikat lebih bercorak versi Pakistan atau Timur Tengah, kerana kebanyakannya ditubuhkan oleh kaum masyarakat tersebut. Lantaran itu, Imam Shamsi juga menganggap pesantren yang dibinanya itu sebagai "juga kontribusi Indonesia kepada dunia".

Pembangunan pesantren ini juga dibuat sedang umat Islam di Amerika berdepan dengan fenomena Islamofobia. Lantaran itu, Pondok Pesantren Madani USA itu juga akan menjadikan hubungan antara agama sebagai "salah satu aktiviti utama" dan memberikan sumbangan positif kepada warga sekitar.

BUKAN ISLAM BOLEH IKUT SERTA JADI PELAJAR?

Walaupun pusat pendidikan agama kendalian Imam Shamsi mempunyai warna Nusantara atau ciri lazim pondok pesantren Indonesia, pendakwah berusia 50 tahun itu akur, ia perlu juga ada 'ciri' budaya Amerika.

"Di Amerika memang semua institusi harus terbuka. Tidak boleh membatasi atau menolak kerana alasan ras atau agama. Ini dianggap diskriminasi. Maka pesantren ini terbuka untuk semua warga, termasuk bukan Muslim," kongsi beliau semasa ditanya BERITAMediacorp sama ada ia akan turut mengambil penuntut bukan Islam.

Bagaimanapun yang pasti, selain persekolahan dalam bentuk pesantren (boarding), program lain yang bakal dijalankan termasuklah bidang dakwah dan kepimpinan, kaunseling belia, kaunseling rumah tangga dan kem musim panas.

Imam Shamsi yang turut menerima pendidikan Islam di pesantren semasa zaman mudanya di Sulawesi, berjanji bahawa pada akhirnya, pondok pesantren tersebut akan "mempraktikkan Islam yang moderat, berkemajuan, moden, sejalan dengan demokrasi dan beradaban dunia".

3 TAHAP PEMBANGUNAN; MASIH PERLU SUMBANGAN DANA

Setepat-tepatnya, pesantren sulung itu akan bertempat di bandar Moodus, Connecticut, sekitar 110 kilometer dari New York. Kini setelah berjaya membeli tanah, proses seterusnya ialah untuk membangunkan atau mengubah elok bangunan-bangunan di tapak tersebut. Terdapat lapan bangunan sedia ada di tanah yang dibelinya dan hanya empat bangunan boleh diubah elok sementara bakinya perlu dirobohkan.

Menurut Imam Shamsi, pihak arkitek landskap akan dipanggil pada Januari 2018 untuk mengkaji rancangan pembangunan pondok pesantren tersebut. Beliau mengenal pasti tiga tahap pembangunan.

"Pertama, dalam tempoh setahun ini, pihaknya akan mengubah elok bangunan-bangunan yang boleh digunakan dan kegiatan pondok akan berjalan secara bukan sepenuh masa (non-permanent).

Kedua, dalam tempoh 2-3 tahun ke depan, sebuah masjid, asrama dan pondok-pondok akan dibina dengan pesantren mula beroperasi secara sepenuh masa.

Ketiga, dalam tempoh 4-5 tahun mendatang, rumah-rumah tradisional kedaerahan Indonesia akan dibangunkan di tapak tanah tersebut untuk dijadikan rumah tamu (guest house) untuk pelawat. Ini katanya, diharap menjadi satu sumber ekonomi dan "mempromosikan Indonesia".

Imam Shamsi, tokoh silang agama yang banyak memperjuangkan dialog perdamaian Islam-Yahudi, mengakui buat masa ini pihaknya masih perlu mengumpul dana dari masyarakat Islam.

Pesantren tersebut memerlukan sekitar AS$200,000 untuk kerja-kerja ubah elok bangunan dan lagi AS$400,000 untuk membayar harga tapak tanah dalam tempoh dua tahun ini.(KONF/BERITA)

Category: 
Loading...